TEL AVIV – Ketika muzik tekno dan dentuman bergema di ruang bawah tanah di pusat bandar Tel Aviv, kira-kira 200 remaja Israel berusia lingkungan 20-an menari sepanjang malam meskipun perang dengan Iran terus berlangsung.
Walaupun amaran peluru berpandu dan siren telah menjadi kebiasaan bagi rakyat Israel sejak konflik bermula 11 hari lalu, sekumpulan penduduk memulakan pesta di tempat perlindungan bom yang diubah menjadi kelab malam.
“Menari pada masa-masa sukar adalah satu kelegaan. Ia memberi kami kekuatan,” kata Ruben Chekroun, salah seorang penganjur malam tarian separa rahsia itu.
“Keadaan sukar sekarang, jadi lebih baik kita cuba memanfaatkannya sebaik mungkin,” katanya kepada AFP.
Empat ‘pesta bunker’ diadakan di lokasi-lokasi seperti tempat letak kereta bawah tanah yang telah ditetapkan khas sebagai tempat perlindungan bom.
Walaupun acara-acara tersebut seolah-olah melanggar sekatan yang dikenakan ke atas perhimpunan besar-besaran, ia diterima oleh pihak berkuasa.
Perang meletus pada 28 Februari lalu apabila Amerika Syarikat (AS) dan Israel mengebom Iran dengan tembakan peluru berpandu yang membunuh pemimpin tertinggi, Ayatollah Ali Khamenei.
Tehran membalas dengan serangan dron dan peluru berpandu ke atas kepentingan Israel dan AS di seluruh rantau itu. – AFP














