PETALING JAYA – Suasana di bazar Ramadan Kelana Jaya bertukar cemas apabila sebuah tong gas di salah sebuah gerai makanan dipercayai terbakar hingga menyebabkan api marak menjulang.
Kejadian itu mencetuskan panik dalam kalangan peniaga apabila api dilihat menyambar kuat dari bahagian belakang ruang memasak sebuah gerai, berhampiran kanopi jualan.
Berdasarkan video dimuat naik di Thread @Malovskiy_, beberapa individu pada awalnya dilihat cuba mengawal kebakaran, namun usaha tersebut kurang berhasil berikutan api yang terlalu marak.
Menurut pemilik video, orang awam yang berada di lokasi turut cuba membantu memadamkan kebakaran dan dipercayai menggunakan kain basah beberapa kali, namun percubaan itu gagal, kemungkinan disebabkan kebocoran gas yang besar.
Paling membimbangkan, orang awam pula dilihat melihat kejadian tersebut dari jarak yang dekat tanpa memikirkan keselamatan diri sendiri.
“Dah selesai, mula-mula ada usaha mengawal api, tapi kurang berhasil. Akhirnya ada pemadam api barulah selesai, sementara warga sivil menyaksikan dengan penuh ingin tahu sambil mengabaikan keselamatan diri,” katanya.
Difahamkan kejadian tersebut bagaimanapun tidak mendatangkan kecederaan dan kerosakan kepada pemilik gerai mahupun orang awam.
Rata-rata orang ramai menzahirkan kebimbangan serta mencadangkan agar alat pemadam kebakaran juga perlu diletak di bazar Ramadan.
“Kenapa dekat bazar takda pemadam api? Dah patut diwajibkan macam kedai lain. Mungkin selepas ini boleh dititikberatkan demi keselamatan awam, selain dari keselamatan makanan,” komen @Lahkmrdn.
“Saya rasa PBT kena wajibkan peniaga untuk ada pemadam kebakaran masing-masing. Bergantung kepada jenis perniagaan. Kalau setakat berniaga air tak perlulah,” komen Zafran. – KOSMO! ONLINE
View on Threads














