ALOR SETAR – Seorang lelaki cedera parah selepas kenderaan jenis Perodua Aruz yang dipandu terlibat kemalangan dengan sebuah kereta Volkswagen Golf di hadapan Sekolah Menengah Agama Kedah, di sini malam ini.
Kemalangan itu mengakibatkan kedua-dua kenderaan tersebut terbalik.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Alor Setar, Timbalan Penguasa Bomba I Ismail Mohd. Zain berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 9.39 malam.
“Setibanya di lokasi, didapati kemalangan melibatkan dua kenderaan dan terdapat seorang pemandu lelaki berusia 51 tahun tersepit.
“Mangsa telah dikeluarkan dari kenderaan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk mendapatkan rawatan.
“Bagi kereta Volkswagen Golf pula, seorang lelaki, seorang wanita serta seorang kanak-kanak lelaki hanya mengalami kecederaan ringan.
“Anggota turut memberikan rawatan awal kepada mangsa di lokasi kejadian sebelum mereka dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














