PERSIAPAN rapi lebih awal menjadi nadi utama Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dalam misi memburu kejayaan di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 apabila senarai pemain skuad kebangsaan yang diumumkan baru-baru ini dikekalkan sebagai teras utama pasukan.
Langkah strategik itu dipersetujui PSM dan Majlis Sukan Negara (MSN) bagi memastikan pemain mempunyai masa mencukupi untuk membentuk keserasian ampuh sebelum turun di pentas Asia itu nanti.
Presiden PSM, Datuk Sumali Reduan menjelaskan selepas ini tiada sebarang rombakan dirancang terhadap senarai berkenaan memandangkan pemilihan telah dibuat berdasarkan penilaian teknikal yang mendalam oleh barisan kejurulatihan.
Katanya, PSM memberikan mandat dan kepercayaan sepenuhnya kepada barisan jurulatih untuk menentukan pemain tanpa campur tangan daripada pihak pengurusan tertinggi.
“Setakat ini tiada perubahan (senarai pemain). Kita di peringkat PSM tidak pernah campur tangan dalam pemilihan pemain kerana cadangan itu datang sepenuhnya daripada ketua jurulatih dan barisan jurulatih.
“Meskipun ada sedikit pandangan diberikan, namun akhirnya kita beri mandat sepenuhnya kepada mereka demi memastikan persiapan rapi lebih awal ini berjalan lancar,” katanya selepas mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi PSM di Akademi Sepak Takraw Malaysia, kelmarin.
Sumali menjelaskan, elemen versatil amat dititikberatkan dalam pemilihan di mana setiap pemain dituntut berkeupayaan untuk beraksi lebih daripada satu acara, khususnya regu dan kuadran.
“Jadi jurulatih perlu memilih pemain yang sesuai dengan karakter serta posisi masing-masing agar strategi pasukan lebih fleksibel,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Sumali turut menarik nafas lega apabila isu pelepasan pemain yang terikat dengan majikan masing-masing telah selesai sepenuhnya.
“Alhamdulillah, semua masalah pelepasan pemain sudah diselesaikan. Ini membolehkan mereka memberikan fokus seratus peratus kepada latihan dan persiapan menghadapi kalendar kejohanan utama tahun ini,” katanya lagi.
PSM kini sedang giat melakukan persiapan akhir bagi penganjuran Piala Emas Khir Johari yang dijadualkan menjadi kejohanan sulung di stadium baharu persatuan itu bulan depan.














