fbpx
Armizan ketika bercakap pada sidang media Pengumuman Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri dan Program Jualan Rahmah Madani di Laman Rekreasi Tasek Tambahan, Ampang Jaya. Foto oleh SYAKIR RADIN / KOSMO!

Jangan panik, bekalan keperluan Aidilfitri mencukupi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

AMPANG – Rakyat diminta tidak melakukan pembelian panik kerana bekalan barangan keperluan menjelang Aidilfitri di negara ini adalah mencukupi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kerajaan sentiasa melakukan pemantauan rapi terhadap bekalan serta pergerakan harga barangan di pasaran.

Beliau memaklumkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga telah mengarahkan setiap kementerian membuat pemantauan sedia ada serta menyediakan unjuran dan pelan kontingensi mengikut bidang kuasa masing-masing.
“Saya ingin berikan jaminan di sini, jangan khuatir, jangan ada pembelian panik untuk perayaan ini kerana dari segi bekalan untuk perayaan ini bukan hanya hingga 1 Syawal tapi hingga 30 hari Syawal insya-Allah bekalan itu sudah ada dalam negara, bekalan mencukupi.

“Kita telah pun membuat persiapan pemantauan awal bersama dengan Kementerian Pertanian dan juga pemborong, pengeluar dan juga peruncit kita. Jadi jangan ada, jangan khuatir sepanjang perayaan ini,” katanya ketika sidang akhbar pengumuman SHMMP di sini hari ini.

Sementara itu, Armizan berkata, KPDN turut memberi perhatian kepada isu melibatkan bekalan bahan api termasuk risiko berlakunya penyeludupan.

“Walaupun kerajaan telah melaksanakan penyasaran subsidi diesel dan RON95 sebelum ini, risiko penyeludupan masih wujud terutama apabila harga minyak dunia meningkat dan terdapat perbezaan harga yang ketara berbanding negara jiran.

“Keadaan itu boleh mendorong kecenderungan untuk menyeludup bahan api ke luar negara atau berlakunya salah guna bekalan bersubsidi untuk kegunaan industri di dalam negara,” katanya.

Sehubungan itu katanya, KPDN meningkatkan penguatkuasaan termasuk menggerakkan operasi melalui Ops Tiris bagi memastikan aktiviti penyeludupan bekalan bahan api dapat dikekang.

“Di peringkat KPDN, kita akan memberi tumpuan kepada pemantauan bekalan dan juga penguatkuasaan untuk memastikan bekalan mencukupi serta tidak berlaku penyeludupan atau penyalahgunaan subsidi,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI