fbpx
Gambar hiasan

Malaysia di tangga ke-29 sistem penjagaan kesihatan terbaik dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Malaysia menduduki tangga ke-29 terbaik di dunia dalam sistem penjagaan kesihatan mengatasi beberapa negara maju termasuk Amerika Syarikat, China dan Sweden berdasarkan Indeks Penjagaan Kesihatan Numbeo 2026.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, Malaysia juga berada di tangga ketiga di Asia Tenggara mengatasi Filipina, Vietnam, dan Indonesia.

Beliau menjelaskan, kejayaan itu sebahagiannya disokong oleh struktur organisasi sebanyak 151 hospital di seluruh negara yang tersusun mengikut kategori.
Jelas beliau, kategori itu dikelaskan mengikut jenis iaitu perkhidmatan yang disediakan, bilangan pesakit dan beban kerja serta kompleksiti diagnosis.

“Setiap kategori hospital memainkan peranan yang jelas dalam menyediakan rawatan berkualiti secara berperingkat, kebolehcapaian perkhidmatan dan kos berpatutan.

“Sekaligus memperkukuh reputasi Malaysia sebagai penyedia penjagaan kesihatan yang efisien, tersusun dan mesra rakyat,” katanya pada sidang Dewan Negara di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Anna Bell @ Suzieana binti Perian tentang langkah Kementerian Kesihatan menyelesaikan masalah ketiadaan kelengkapan perubatan seperti Mesin Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) dan alatan perubatan lain di hospital daerah.

Dr. Dzulkefly menegaskan bahawa sistem hospital berperingkat membolehkan rakyat menerima rawatan yang bersesuaian dengan keperluan masing-masing tanpa mengabaikan kualiti atau kos.

Beliau menambah bahawa pencapaian itu mencerminkan usaha berterusan kerajaan dalam memperkukuh sektor kesihatan negara dan meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap perkhidmatan yang disediakan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI