fbpx
Gambar yang dikongsi guru tersebut di Facebook miliknya hari ini.

JPN, apa nasib Jolina?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Seorang guru sekolah alternatif mendakwa seorang remaja perempuan berketurunan Bajau Laut gagal memperoleh dokumen pengenalan diri selepas setahun berulang-alik ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi menguruskan sijil kelahiran daftar lewat.

Mukmin Nantang berkata, remaja dikenali sebagai Jolina itu sepatutnya layak memperoleh dokumen tersebut kerana ibunya merupakan rakyat tempatan dan memiliki kad pengenalan atau MyKad.

Katanya, sejak Februari 2025 hingga Februari lalu, pelbagai usaha dilakukan termasuk menyediakan dokumen sokongan, membuat laporan polis, mendapatkan pengesahan pesuruhjaya sumpah serta membawa saksi keluarga bagi menyokong permohonan tersebut.

“Namun selepas setahun berurusan dengan JPN Semporna, permohonan Jolina dimaklumkan ditolak secara lisan tanpa surat rasmi, tanpa sebab dan tanpa penerangan mengenai tindakan lanjut yang boleh dilakukan,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Mukmin berkata, selepas beliau mendesak agar pihak JPN mengeluarkan dokumen rasmi, surat penolakan akhirnya diberikan seminggu kemudian dengan alasan bukti kelahiran yang dikemukakan tidak kukuh.

Bagaimanapun katanya, semua dokumen yang diminta sebelum ini sudah dilampirkan termasuk akuan bersumpah bagi menggantikan dokumen yang tiada selain kehadiran ibu kandung sebagai saksi.

“Pihak JPN meminta semua dokumen disediakan semula dari awal. Persoalannya, ke mana perginya dokumen yang dihantar sebelum ini?” katanya.

Beliau turut mempersoalkan mengapa pemohon tidak dimaklumkan mengenai laluan rayuan atau pilihan lain seperti ujian DNA bagi mengesahkan hubungan antara Jolina dan ibunya.

Jelas Mukmin, berdasarkan Perkara 14 Perlembagaan Persekutuan, seseorang individu layak menjadi warga Malaysia secara automatik sekiranya dilahirkan di Malaysia dan sekurang-kurangnya salah seorang ibu atau bapanya merupakan warga tempatan.

Katanya, kekeliruan prosedur itu menyebabkan ramai penduduk khususnya komuniti Bajau Laut berhenti menguruskan dokumen kerana berdepan proses birokrasi yang sukar difahami.

“Sampai bila perkara ini harus berlaku? Anak ini tidak boleh dibiarkan terus hidup tanpa identiti sedangkan ibunya warga Malaysia,” katanya.

Mukmin turut menyatakan kesediaannya untuk bertemu mana-mana pihak daripada Kementerian Dalam Negeri bagi mencari penyelesaian berhubung kes tersebut dan isu lebih besar berkaitan individu tanpa dokumen di Sabah. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI