BAGAN DATUK – Seramai 22 migran termasuk tiga tekong warga Indonesia yang dalam perjalanan pulang ke Tanjung Balai, Indonesia ditahan pihak berkuasa di perairan Bagan Datuk semalam.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, tangkapan pada pukul 10.50 pagi itu dilakukan selepas Pasukan Polis Marin (PPM) menerima maklumat sebuah bot membawa warga asing pada jarak 10 batu nautika dari persisiran pantai Bagan Sungai Tiang, Rungkup.
“Bertindak atas maklumat itu, anggota polis yang pergi ke lokasi tersebut mendapati terdapat 19 individu berusia lima hingga 62 tahun berada di atas bot berkenaan.
”Turut ditahan tekong berusia 36 tahun dan dua pembantu berusia 33 dan 34 tahun untuk siasatan lanjut,” katanya di sini, hari ini.
Menurutnya, siasatan mendapati bot tersebut dalam perjalanan membawa kesemua migran pulang ke Tanjung Balai, Indonesia. Turut dirampas bot kayu tidak bernombor, peralatan memasak, alat navigasi dan telefon bimbit.
“Kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Kampung Acheh untuk tindakan di bawah Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Tekong bot dan dua pembantunya direman selama 28 hari di bawah Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 bermula 9 Mac hingga 5 April ini.
“Seramai 19 lagi migran direman selama 14 hari di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 bermula 9 hingga 22 Mac ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE














