KUALA KRAI – Sebuah titi gantung di Kampung Chatel Damai di sini, yang runtuh sehingga menyebabkan 50 tetamu majlis kenduri terjatuh ke dalam Sungai Chatel Damai awal Januari lalu, kini digantikan dengan jambatan baharu.
Kerja-kerja pembinaan jambatan itu telah melebihi 90 peratus dan dijangka dapat digunakan seminggu sebelum raya.
Ia dinamakan Jambatan Wan Jamilah sempena nama pengantin perempuan, Wan Jamilah Wan Syukri yang mana majlis perkahwinannya bertukar detik mencemaskan.
Bapa Wan Jamilah, Wan Syukri Wan Isa, 54, berkata, dia terharu apabila nama anak perempuannya itu diabadikan pada jambatan tersebut dan menjadi sebahagian daripada sejarah kampung berkenaan.
“Jambatan ini disifatkan sebagai hadiah Aidilfitri buat kami. Ia sekali gus menamatkan penantian lebih 20 tahun penduduk untuk menikmati kemudahan lebih selamat,” katanya ketika ditemui semalam.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, lebih 50 tetamu termasuk rombongan pengantin lelaki terjatuh ke dalam sungai apabila sebuah titi gantung berusia 24 tahun runtuh semasa mereka dalam perjalanan untuk menghadiri kenduri kahwin.
Kejadian itu menyebabkan seorang lelaki patah kaki selepas terjatuh di atas batu, manakala seorang kanak-kanak cedera pada bahagian kepala dan tiga lagi luka ringan serta sesak nafas.
Sehubungan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan agar pembinaan jambatan baharu segera dilaksanakan.














