JAKARTA – Tanah runtuh di tapak pelupusan sampah terbesar Indonesia menimbus lori dan gerai makanan serta membunuh empat orang, kata pasukan penyelamat hari ini semasa mencari sekurang-kurangnya lima mangsa lain yang dilaporkan hilang.
Bencana itu berlaku pukul 2.30 petang semalam(waktu tempatan) di Bantargebang, hanya 25 kilometer dari Jakarta.
“Anggota penyelamat sedang membuka laluan menggunakan jentera berat seperti jentolak dan mengerahkan anjing pengesan untuk mencari sebarang petunjuk mangsa,” kata Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan dalam satu kenyataan.
Tanah runtuh itu berlaku selepas hujan lebat berjam-jam di Bantargebang, lapor media tempatan.
Jakarta dan bandar-bandar satelitnya, yang secara kolektif dikenali sebagai Jabodetabek, menjadi tempat tinggal kepada kira-kira 42 juta orang dan menjana kira-kira 14,000 tan sampah setiap hari.
Bantargebang juga merupakan salah satu tapak pelupusan sampah terbuka terbesar di dunia, meliputi lebih 110 hektar dan menampung kira-kira 55 juta tan sampah.
Menteri Alam Sekitar Hanif Faisol Nurofiq menuding jari kepada pihak berkuasa tempatan kerana membenarkan pengumpulan sampah walaupun terdapat larangan ke atas tapak pelupusan sampah terbuka sejak tahun 2008.
“Bantargebang adalah milik pentadbiran Jakarta, jadi mereka perlu bertanggungjawab,” kata Hanif kepada penyiar Kompas TV semasa melawat lokasi bencana lewat semalam. – AFP














