BALING – Seorang wanita warga emas dan anak perempuannya terselamat selepas kediaman mereka dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kampung Parit Panjang, di sini tengah malam tadi.
Kejadian pada pukul 12.20 tengah malam itu berlaku ketika mangsa, Maimunah Idris, 76, yang menghidap penyakit saraf dan anaknya, Nasriah Baharom, 34, sedang tidur.
Menurut anak Maimunah, Maizatol Akmawiah, 56, ibu dan adiknya nyaris dirempuh kerana tempat tidur dua beranak tersebut dan lokasi kejadian hanya berjarak dua meter.
“Nasib baik kenderaan itu merempuh bahagian hadapan berdekatan pintu. Jika rempuh bahagian sebelah lagi, mungkin ibu dan adik saya kena rempuh,” katanya hari ini.
Menurutnya, mereka sekeluarga bagaimanapun pelik apabila pemandunya tiada di lokasi dan pemeriksaan mendapati kenderaan tersebut didakwa membawa sejumlah kabel.
“Ada penduduk beritahu kenderaan tersebut dikejar kereta peronda polis selepas disyaki mencuri kabel. Pemandunya mungkin melarikan diri, namun maklumat tersebut belum dapat disahkan lagi,” dakwanya. – KOSMO! ONLINE














