KUANTAN – Penentuan tarikh Hari Raya Aidilfitri tidak boleh berpandukan kepada kalendar tahunan, tetapi perlu berdasarkan panduan iaitu apabila kelihatan anak bulan pada 29 Ramadan.
Pengarah Pusat Islam dan Pembangunan Insan Universiti Malaysia Pahang Sultan Abdullah (UMPSA), Dr. Ahmad Irfan Ikmal Hisham berkata, kalendar Islam yang tepat sebenarnya hanya boleh dibuat setiap bulan dan tidak boleh berdasarkan kepada kalendar tahunan.
Beliau yang juga Ahli Panel Pakar Falak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Ahli Jawatankuasa Falak Syarie Pahang berkata, bagaimanapun manusia memerlukan kalendar tahunan bagi memudahkan perancangan aktiviti kehidupan dan mengetahui tarikh kebesaran
“Waktu melihat atau mencerap anak bulan ialah pada 29 Ramadan, sekiranya anak bulan kelihatan maka esok akan menjadi 1 Syawal Hari Raya.
“Sekiranya tidak kelihatan maka genapkan Ramadan kepada 30 hari dan lusa adalah 1 Syawal atau hari raya,” katanya di sini kelmarin,
Berdasarkan kalendar tahunan 2026 atau 1447 Hijrah, 29 Ramadan jatuh pada hari Khamis atau pada 19 Mac, manakala Hari Raya Aidilfitri jatuh pada 21 Mac iaitu pada hari Sabtu.

Menurut Ahmad Irfan, ahli falak di peringkat Menteri-Menteri Agama Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura (MABIMS) menghasilkan kalendar tahunan berdasarkan kajian bertahun-tahun dan dengan data raya yang luas bagi menghasilkan parameter kiraan menentukan awal bulan dalam kalendar setahun yang dikenali sebagai Kriteria Imkanurrukyah.
Jelasnya, antara kriteria imkanurrukyah ialah, semasa matahari telah terbenam sepenuhnya, sekiranya bulan berada pada ketinggian melebihi tiga darjah dari ufuk dan jarak lengkung bulan ke matahari melebih 6.4 darjah, maka kemungkinan besar anak bulan kelihatan yang bermakna esok akan masuk bulan baharu.
“Jadi sekiranya pada hari mencerap, bulan berada kurang dari kriteria imkanurrukyah, maka esok akan digenapkan kepada 30 hari dan bulan baru jatuh pada lusa,” katanya.
“Ini hanya sekadar hitungan bagi membantu menghasilkan kalendar setahun tetapi pengamal falak masih perlu untuk mengesahkannya dengan mengadakan cerapan sebenar di 29 tapak cerapan rasmi seluruh Malaysia,”katanya.
Jelasnya, untuk konteks Syawal 1447 Hijrah atau 2026 Masihi semasa hari cerapan 29 Ramadan, sekiranya kriteria imkanurrukyah ini tidak dipenuhi maka kemungkinan besar 1 Syawal jatuh pada 21 Mac atau Sabtu dan umat Islam perlu menggenapkan puasa Ramadan kepada 30 hari.
Bagaimanapun katanya, ini perlu disahkan dengan cerapan rasmi dan umat Islam dinasihatkan untuk bersabar menantikan hasil cerapan yang akan diisytiharkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Melayu nanti.
Ditanya mengenai fenomena ‘raya mengejut’, beliau menjelaskan sifat hilal Syawal tahun ini tidak sama dengan sifat data Syawal pada fenomena ‘raya mengejut’ yang lalu.
“Gerhana bulan yang berlaku memang menandakan pertengahan bulan tetapi perlu diperingatkan, masuk bulan baharu dalam Islam ialah bukan dengan pengiraan wujud bulan baharu, tetapi berdasarkan kenampakan anak bulan yang biasanya akan kelihatan beberapa jam setelah wujudnya bulan baru.
“Justeru, data saat gerhana sahaja tidak relevan untuk menentukan tarikh awal bulan dan akhirnya umat Islam perlu kembali kepada panduan wahyu, betapa yang menentukan kaedah penentuan awal bulan ini ialah Allah dan Rasulnya,”ujarnya.














