LUMUT – Kerajaan sedang melaksanakan langkah-langkah awal untuk mengeluarkan rakyat Malaysia dari Iran termasuklah mahasiswa yang melanjutkan pelajaran di negara Timur Tengah tersebut.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, bagi tujuan tersebut, pihaknya bekerjasama dengan Kementerian Luar yang bertanggungjawab mengendalikan rakyat Malaysia di negara terbabit.
“Apa pun langkah-langkah itu kita akan serahkan kepada Kementerian Luar. Sekiranya ada keperluan atau arahan dari Kementerian Luar untuk mengeluarkan pelajar-pelajar termasuk rakyat Malaysia, maka kita akan turut serta.
“Setakat ini usaha-usaha awal saya difahamkan ialah bagaimana untuk menyusun bagi mengeluarkan rakyat Malaysia yang berada di kawasan berlaku krisis itu,” katanya kepada pemberita di Lumut hari ini.
Terdahulu, beliau hadir ke Majlis Penyampaian Bantuan Wang Ihsan (BWI) Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) kepada 377 orang penerima di Marina Island, Lumut. – KOSMO! ONLINE














