PETALING JAYA – ‘Dah melepasi 5 hari bekerja nihh’.
Itu antara gelagat pembayar cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di media sosial yang sedang menantikan pembayaran semula lebih cukai mereka.
Rata-rata mereka tidak sabar menunggu lebihan cukai itu masuk ke akaun masing-masing memandangkan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
Ini kerana dakwa mereka sebelum ini, sekiranya pembayar cukai membuat pengisythiran pada 1 Mac, pembayaran balik akan dilakukan dalam tempoh seminggu sahaja.
Bagaimanapun, menerusi perkongsian di laman Facebook LHDN cari siapa hari ini, pengguna dikenali sebagai Muzzammil Mamat berkata, tempoh pembayaran balik lebihan cukai itu akan dikreditkan dalam masa 14 hari.
“Dalam masa 14 hari bekerja.. cuba sabar,”tulisnya.
Dalam pada itu, seorang lagi pengguna memaklumkan bahawa proses untuk pembayaran semula lebihan cukai tersebut akan mengambil masa sekurang-kurangnya sebulan.
Rentetan perkongsian itu, ada pengguna mula mengeluh dan bimbang wang lebih cukai tersebut tidak dapat digunakan untuk membeli persiapan hari raya.
“Tidak ‘beraya’ tahun ini,”tulis pengguna tanpa nama.
Sementara itu, tinjauan Kosmo! di laman sesawang LDHN mendapati piagam pelanggan agensi itu menetapkan tempoh bayaran balik lebihan cukai ialah
30 hari bekerja selepas penghantaran borang.
“Bagi Borang Nyata dihantar secara e-Filing
90 hari bekerja selepas penghantaran borang. Bagi Borang Nyata dihantar secara pos atau serahan tangan.
“Prosedur pembayaran balik ini tertakluk kepada maklumat yang betul dan lengkap yang dilaporkan dalam Borang Nyata serta pengemukaan dokumen sokongan jika diperlukan bagi semakan,”kongsi LHDN.














