fbpx
Keputusan Elly Mazlein untuk konsisten memakai stoking putih rupa-rupanya bukan sekadar pilihan gaya, sebaliknya langkah yang dibuat dengan penuh pertimbangan.

Rahsia stoking putih Elly Mazlein buat Ustaz Azli terkesima

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Keputusan personaliti televisyen popular Elly Mazlein untuk konsisten memakai stoking putih rupa-rupanya bukan sekadar pilihan gaya, sebaliknya langkah yang dibuat dengan penuh pertimbangan bagi menjaga batas aurat dan mengelakkan salah faham.

Perkara itu dikongsi Elly ketika perbualan bersama Pengetua Maahad Ar-Raudhah (MARDHAH), Ustaz Mohd. Azli Abdullah dalam sebuah video yang dimuat naik di TikTok.

Dalam sesi tersebut, Elly turut menyentuh cabaran menjaga aurat sebagai pempengaruh yang aktif menghasilkan pelbagai kandungan, termasuk aktiviti santai yang kadang-kadang melibatkan pergerakan seperti berlari.

Menurut Elly, pemilihan stoking putih menjadi cara paling jelas untuk mengelakkan fitnah atau andaian yang tidak tepat, khususnya apabila pergerakan dalam video boleh menyebabkan betis kelihatan walaupun aurat sebenarnya telah ditutup.

“Kita nak mengelakkan fitnah. Saya sejenis manusia yang lain daripada yang lain. Kalau saya buat konten dan berlari santai, sampai boleh nampak betis. Jika saya pakai stoking warna kulit, ia akan menimbulkan fitnah, dan penat saya hendak menjelaskan bahawa saya sebenarnya memakai stoking.

“Jadi, bila saya pilih stoking putih, orang sudah tidak bertanya apa-apa lagi kerana semuanya sudah jelas,” jelasnya.

Selain isu aurat, video sama turut memaparkan momen peribadi yang menyentuh hati apabila Elly berkongsi bentuk sokongan moral yang diterima daripada suaminya sejak mula berhijab, yang disifatkan sebagai dorongan paling ‘senyap’ tetapi memberi kesan besar.

“Ustaz, tanpa kata-kata, kita mendapat kucupan yang hangat di dahi. Tidak cakap banyak, tahu-tahu dah kena cium di dahi. Beliau (suami) bagi sokongan yang sangat manis,” ujar Elly.

Mengakhiri sesi perbualan itu, Ustaz Mohd. Azli mengajak orang ramai mengambil iktibar daripada kesungguhan Elly menjaga aurat, sambil mengingatkan bahawa ketenangan hati turut hadir apabila batas dipelihara.

“Jom kita ambil pengajaran dari Kak Lina Pom Pom. Aurat terjaga, hati pun tenang,” katanya.

Perkongsian tersebut menerima reaksi positif warganet yang rata-ratanya menyokong tindakan Elly dan mendoakan agar perjalanan penghijrahannya terus dipermudahkan.

Terdahulu, penampilan Elly berhijab ketika mengacarakan pentas akhir Kilauan Emas 2025 pada Oktober tahun lalu turut menjadi perhatian ramai. – KOSMO! ONLINE

@ustazazli

Ingat stoking bola tadi, rupanya stoking penyelamat fitnah! 😆 Jom ambil pengajaran dari Kak Lina Pom Pom. Aurat terjaga, hati pun tenang. ❤️ @Kakak Lina Pom Poms #TikTokDakwah #KakLina #MaahadArRaudhah #StokingPutih #Aurat

♬ original sound – UST AZLI – UST AZLI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN