AIN diceraikan oleh suaminya yang kedekut dan baran selepas dirinya menyuarakan keinginan untuk berbuka puasa bufet di hotel setelah penat memasak setiap hari. – ILUSTRASI SHAH HASAN

Dicerai suami lepas minta tempah bufet berbuka hotel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

RAMADAN merupakan bulan yang paling ditunggu-tunggu oleh umat Islam kerana setiap amalan akan digandakan ganjaran pahala.

Pun begitu, ada juga insan yang berduka setiap kali bulan penuh berkat itu menjelma.

Hal ini kerana, Ramadan pernah menjadi saksi kepada perpisahan antara dua jiwa bergelar suami isteri.

Bagi Ain (bukan nama sebenar), setiap kali tibanya bulan Ramadan, pasti dia akan terkenang saat dirinya dilepaskan oleh bekas suami kira-kira sedekad lalu.

Meskipun sudah lama berlalu dan kini hidup bahagia dengan suami baharu, namun detik hitam tersebut masih segar dalam ingatan ibu kepada dua cahaya mata tersebut.

“Saya diceraikan oleh bekas suami beberapa hari lagi sebelum Ramadan melabuhkan tirainya. Punca saya diceraikan adalah disebabkan terlalu teringin berbuka puasa secara bufet.

“Saya sering mengajak suami makan secara bufet ketika Ramadan, namun ajakan itu selalu ditolak dengan alasan harganya terlalu mahal.

“Biarpun kedengaran agak pelik dan tidak masuk akal, namun itulah yang menjadi punca saya diceraikan,” katanya kepada K-Wanita.

Berkongsi lanjut, wanita berusia 40 tahun itu mengakui, dia mungkin telah melakukan kesilapan kerana terlalu mendesak suaminya.

Namun Ain sama sekali tidak pernah menyangka suaminya sanggup menceraikannya selepas hampir lima tahun melayari bahtera perkahwinan.

“Suami ada kerja yang baik. Cuma satu masalahnya, dia sangat kedekut soal wang ringgit, walaupun dengan isteri dan anak-anak sendiri,” katanya.

Menurut bekas kerani pentadbiran itu lagi, dia sanggup ikutkan apa sahaja kemahuan suaminya kerana mahu mendapatkan reda sebagai isteri yang baik.

“Saya sama sekali tidak pernah ingkar arahan suami. Setiap arahan yang dia beri, saya akan lakukan sehabis baik,” ujarnya.

Cerita Ain lagi, selepas berhenti kerja kerana mengikut kehendak suaminya, dia memilih untuk menjadi suri rumah sepenuh masa. Maka segala kerja rumah termasuk memasak hidangan berbuka puasa dilakukan olehnya.

“Setiap kali Ramadan, saya akan masak apa jua hidangan, meskipun kadangkala terasa sangat penat. Jadi, logiklah sesekali saya rasa teringin berehat dan makan di luar bersama keluarga di hotel.

“Saya bukannya mahu mengungkit hal yang sudah lepas terutamanya pada bulan penuh berkat ini.

“Namun suami saya itu, jangan kata makan bufet di luar, saya ajak pergi bazar Ramadan pun dia tak mahu kerana enggan membazir.

“Dia memang sangat kedekut. Baginya, memasak di rumah jauh lebih jimat. Memang betul apa dia cakap, tapi kadang-kadang saya mahu juga berehat.

“Ini kerana, semua kerja di dapur saya buat seorang diri, suami memang tidak pernah bantu,” ujarnya.

Pun begitu, Allah SWT telah menentukan jalan takdir bahawa perkahwinan Ain dengan suaminya tidak bertahan lama.

Semuanya bermula selepas Ain secara berseloroh memaksa suaminya menempah bufet Ramadan di sebuah hotel terkemuka di ibu negara.

“Disebabkan permintaan itu, saya kena marah teruk sehingga diceraikan suami. Suami saya ini memang terkenal dengan sifat baran,” kenangnya sambil mengalirkan air mata.

Sudahlah tidak dapat merasa bufet buka puasa di hotel, dilafazkan talak pula. Akhirnya, mereka sah berpisah di salah sebuah Mahkamah Syariah di Kuala Lumpur.

Ain berdoa agar bekas suaminya berubah sikap dan ditemukan wanita yang lebih baik berbanding dirinya selepas ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN