fbpx
HALIMAH ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bendar Bukit, Bukit Kepong, Muar hari ini.

‘Patutlah dia minta maaf, takut tak sempat raya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MUAR – Seorang ibu tidak menyangka permohonan maaf anak lelakinya menjadi petanda dia akan pergi menghadap Ilahi buat selamanya.

Halimah Kasman, 77, berkata, dalam kejadian pada pukul 8.42 pagi, anaknya, Norman Ahmad, 47, maut bersama bapa saudaranya, Sa’at Kassim, 77, dipercayai dirempuh sebuah pikap dipandu seorang lelaki yang didapati positif dadah.

Kedua-dua mangsa yang cedera parah kemudian dikejarkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HSPF), namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.

Menurut Halimah, pemergian anak keenam daripada 10 beradik itu amat terasa lebih-lebih lagi ketika umat Islam sedang menjalani ibadah Ramadan dan bakal menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.

Katanya, dia masih teringat detik arwah menghulurkan tangan memohon maaf beberapa hari lalu seolah-olah mengetahui sesuatu akan berlaku.

“Bila dia hulur tangan nak minta maaf, saya rasa macam ada sesuatu. Tapi sebagai ibu saya tak mahu fikir perkara bukan-bukan.

“Sehinggalah pagi semalam, ada anak beritahu arwah kemalangan dan ketika itu hati saya mula rasa tidak sedap,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bendar Bukit, Bukit Kepong di sini hari ini.

Sementara itu, abang mangsa, Noor Sham, 51, berkata ketika kejadian adiknya bersama bapa saudara mereka dalam perjalanan ke pekan Pagoh untuk membeli keperluan menyambut Aidilfitri.

Menurutnya, hubungan arwah dengan bapa saudaranya yang dipanggil Pak Teh sangat rapat kerana mereka tinggal bersama sejak kecil lagi.

“Mereka memang rapat seperti ayah dan anak. Ke mana-mana pun mesti berdua kerana Pak Teh sudah berusia,” katanya.

Tambahnya, pada awalnya dia menyangka kemalangan itu tidak serius selepas menerima video daripada orang ramai yang menunjukkan adiknya masih mampu bangun selepas kejadian.

“Walaupun muka berlumuran darah, arwah masih gagahkan diri mencari Pak Teh untuk melihat keadaannya,” katanya.

Namun tidak lama kemudian kedua-dua mangsa dikejarkan ke hospital sebelum keluarga dimaklumkan mereka meninggal dunia ketika menerima rawatan.

Noor Sham berkata, keluarganya menerima ketentuan Ilahi, namun berharap tindakan sewajarnya dapat diambil terhadap pemandu pikap terbabit.

“Kami reda ini semua takdir Allah, tetapi undang-undang tetap undang-undang kerana dalam sekelip mata kami kehilangan dua insan tersayang,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI