fbpx
Anggota polis membawa Syahrulnizam (tengah) untuk didakwa atas pertuduhan melakukan khianat dengan api hingga menyebabkan kerosakan terhadap rumah ibu saudaranya di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini.

Buruh mengaku bersalah bakar rumah ibu saudara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Seorang buruh mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan khianat dengan api hingga menyebabkan kerosakan terhadap rumah ibu saudaranya di Kampung Tegayong di sini pada bulan lalu.

Tertuduh, Syahrulnizam Mamat, 42, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Nik Habri Muhamad.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan perbuatan khianat dengan api menggunakan pemetik api dengan niat untuk menyebabkan kerosakan kepada harta iaitu sebuah rumah milik Faridah Kasim, 62.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 4.15 petang pada 24 Februari lalu di Kampung Tegayong, Melor di sini.

Syahrulnizam didakwa mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Syafiqah Mohamad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Nur Syafiqah tidak mencadang jaminan kerana tertuduh dan mangsa mempunyai hubungan kekeluargaan iaitu anak saudara dan ibu saudara.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin selain menetapkan 9 April depan untuk fakta kes dan prosiding jatuh hukum.

Akhbar Kosmo! sebelum ini melaporkan, seorang lelaki yang dipercayai mengalami halusinasi bertindak buar kawalan apabila membakar rumah dan mengugut untuk membunuh ibu saudaranya dalam kejadian di Kampung Tegayong, Melor di sini pada 24 Februari lalu.

Dalam kejadian itu, suspek yang menumpang di rumah Faridah dicekup selepas beberapa jam melarikan dari.

Menurut menantu Faridah, Ismawati Ismail, 47, dia yang tinggal bersebelahan rumah ibu mentuanya menyedari kejadian itu selepas melihat kepulan asap dari rumah tersebut.

Ismawati juga merupakan sepupu kepada suspek.

“Saya terdengar beberapa kali letupan kecil dan jeritan sepupu saya menjerit meminta pertolongan. Saya terus jenguk ke luar dan melihat dia dalam keadaan cemas sambil memegang sebilah gunting dan botol berisi petrol.

“Pada masa sama, ibu mentua berlari keluar dari pintu belakang rumah untuk meminta bantuan saya supaya menghubungi bomba selepas melihat api marak dengan cepat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI