KUALA LUMPUR – Pelaksanaan had umur baharu belia yang berkuat kuasa mulai 1 Januari lalu memberi kesan langsung kepada komposisi keahlian pertubuhan belia di negara ini apabila jumlah keahlian direkodkan menurun sebanyak 45 peratus.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol berkata, berdasarkan rekod Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY), jumlah keahlian pertubuhan belia sebelum tarikh kuat kuasa pindaan had umur seramai 991,729 orang.
Bagaimanapun, kata beliau, sehingga 28 Februari 2026, jumlah keahlian belia berumur di bawah 30 tahun direkodkan seramai 544,940 orang.
Beliau berkata, penurunan tersebut berlaku berikutan individu berumur antara 30 hingga 40 tahun tidak lagi dikategorikan sebagai belia dan tidak boleh menjadi ahli biasa dalam pertubuhan belia.
Mordi berkata, walaupun jumlah keahlian berkurangan, pelaksanaan dasar berkenaan memberi beberapa kesan positif terhadap struktur serta kelangsungan pertubuhan belia.
“Langkah ini membantu memperkukuh ekosistem kepimpinan belia dengan memberi peluang lebih besar kepada golongan muda mengambil peranan utama dalam organisasi, sekali gus merangsang idea baharu serta pendekatan yang lebih segar dalam gerakan belia,” katanya ketika menjawab pertanyaan di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berhubung status terkini pelaksanaan dasar penurunan had umur belia kepada 30 tahun yang berkuat kuasa mulai 1 Januari lalu.
Mordi berkata, dasar tersebut juga membolehkan pelaksanaan program dan inisiatif pertubuhan belia lebih tertumpu kepada golongan sasaran sebenar serta meningkatkan keupayaan organisasi untuk bergerak secara lebih dinamik selaras dengan cabaran semasa.
Sementara itu, katanya, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) turut memperkenalkan inisiatif penepian fi bagi menggalakkan penubuhan pertubuhan belia baharu, khususnya dalam kalangan komuniti luar bandar dan berpendapatan rendah.
“Inisiatif penepian fi ini membolehkan pendaftaran pertubuhan belia baharu serta pindaan perlembagaan dilakukan secara percuma sehingga 31 Disember 2027, sekali gus mengurangkan beban kos kepada kumpulan yang ingin menubuhkan organisasi belia,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, KBS melalui ROY turut melaksanakan pelbagai program bagi memastikan pematuhan terhadap pindaan undang-undang berkaitan pertubuhan belia.
Antara program yang dilaksanakan termasuk Program Santuni Pertubuhan Belia, Bengkel Pemantapan Maklumat Yang Kena Diberi (MYKD) serta Bengkel Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Akta 668) – KOSMO! ONLINE














