KOTA TINGGI – Kehilangan seorang pemuda di kawasan kebun di Jalan Kambau, Kampung Perepat, Tanjung Sedili di sini sejak Isnin lalu menimbulkan tanda tanya dalam kalangan ahli keluarganya.
Mohamad Norshafe Mohd. Jamadil, 30, dilaporkan hilang kira-kira pukul 4.10 petang, 2 Mac lalu.
Ibunya, Azizah Buhari, 52 berkata, dia yang menetap di Skudai dimaklumkan mengenai kehilangan anaknya itu selepas bekas suami menghubungi anak lelaki mereka yang kemudian memaklumkan Mohamad Norshafe tiada di pondok kebun.
Katanya, Mohamad Norshafe disedari hilang selepas ditinggalkan seketika oleh bapanya yang terpaksa bergegas menguruskan pekerja kebun yang kurang sihat.
“Bekas suami beritahu anak sudah tiada di pondok kebun. Yang tinggal hanya kad pengenalan (MyKad), kad bank dan dompet miliknya. Usaha mencari di sekitar kawasan kebun dilakukan, sudah empat hari kami mencari tetapi masih tak jumpa,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menhru, Mohamad Norshafe yang merupakan anak kedua mempunyai ketinggian kira-kira 165 sentimeter, berbadan kurus, botak dan bersikap seperti keanak-anakan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau ternampak Mohamad Norshafe diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Azizah di talian 011-27746461. – KOSMO! ONLINE














