KULIM – Sepasang suami isteri melahirkan rasa syukur apabila kutipan dana bagi membolehkan anak bongsu mereka menjalani pemindahan hati di sebuah hospital di Shanghai, China, sudah mencukupi.
Pasangan terbabit, Muhamad Fahmin Hashim, 36, dan isterinya, Amirah Selgi, 33, dijadualkan terbang ke China bagi membolehkan Nor Farrel Iman, 2, yang menghidap penyakit biliary atresia atau kegagalan fungsi hati menjalani pembedahan hari ini.
Menurut Amirah, kutipan dana yang digerakkan oleh Pertubuhan Kebajikan Nadi Permata Malaysia melalui media sosial dan media cetak berjaya mengumpul sebanyak RM209,345.05 sehingga Jumaat lalu.
Justeru, katanya, tabung dana tersebut ditutup sepenuhnya selepas jumlah sasaran kutipan bagi kos pembedahan dan rawatan anaknya itu berjaya dicapai.
“Saya bersyukur dan terharu dengan keprihatinan semua pihak. Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang membantu kami.
“Doakan pembedahan dan pemindahan hati Farrel berjalan lancar. Alhamdulillah, pasukan perubatan di sana memaklumkan saya boleh mendermakan hati kepada anak,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Kosmo! pada 16 Februari lalu, melaporkan seorang ibu sanggup berkorban apa sahaja termasuk mendermakan sebahagian hatinya Farrel yang disahkan menghidap penyakit hati sejak dilahirkan pada 9 Mac 2024.
Amirah, dan Muhamad Fahmin, berusaha keras untuk mendapatkan rawatan di sebuah hospital di Shanghai, China, yang menelan belanja RM200,000, termasuk kos rawatan, perjalanan dan penginapan.














