PUTRAJAYA- Seorang daripada empat anak Allahyarham Tun Daim Zainudin disahkan telah bersetuju untuk membantu siasatan berhubung kes Op Godfather.
Perkara itu disahkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Azam berkata, anak lelaki allahyarham iaitu Md. Wira Dani telah menghubungi pihaknya baru-baru ini bagi membantu siasatan kes itu.
“Bagaimanapun, tiga lagi keberadaan tiga lagi anak bekas Menteri Kewangan itu masih belum diketahui.
“Setakat ini hanya seorang daripada anak Allahyarham Tun Daim telah menghubungi kami,” katanya.
Katanya, pihaknya mahu peguam bagi ketiga-tiga individu itu untuk segera menghubungi mereka dan seterusnya hadir ke pejabat SPRM secepat mungkin.
Media sebelum ini melaporkan, SPRM SPRM memaklumkan telah mengeluarkan Notis Kesan Individu terhadap empat anak Allahyarham Tun Daim selepas mereka gagal memberi maklum balas terhadap dua notis rasmi.
Dalam perkembangan sama, Azam berkata, ketika ini, siasatan terhadap Op Godfather itu turut melibatkan pengesanan harta dan aset di beberapa negara yang dipercayai bernilai berbilion ringgit.
“Kami mempunyai senarai harta-harta di beberapa negara. Saya tidak mahu menyebut negara-negara berkenaan dan juga jumlahnya, tetapi ia berbillion ringgit yang telah kami kesan,” katanya.
Katanya, Bahagian Operasi Khas SPRM kini sedang menjalinkan kerjasama dan perbincangan dengan pihak berkuasa negara-negara terlibat.
Jelasnya lagi, segala tindakan yang diambil perlu mematuhi undang-undang negara berkenaan menerusi kerjasama perundangan bersama atau Mutual Legal Assistance (MLA). – KOSMO! ONLINE














