fbpx
Serasi bersama, Ammar, Auddra dan Hadie berpadu vokal menerusi Dentam Dentum Raya yang menemui pendengar sejak 23 Februari lalu

‘Memang untuk Trio Mut, kalau tiada memang tak lengkap’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SETIAP kali Syawal menghampiri, industri muzik tempatan pasti dibanjiri lagu raya baharu, ada sekadar meriah di permukaan, ada juga lahir dengan jiwa dan identiti tersendiri. 

Tahun ini, trio muda tampil membawa dentuman segar, menggabungkan tenaga remaja, warisan seni keluarga serta aura Gen Z dalam satu naskhah penuh warna.

Kehadiran bakat baharu sering menjadi pertaruhan besar, namun apabila tiga nama muda bersatu dengan latar belakang seni kukuh, hasilnya bukan semata-mata  lagu raya, sebaliknya sebuah percubaan berani menawan hati generasi masa kini. 

Lebih menarik, kolaborasi tersebut turut disokong penerbit berpengalaman, menjadikan projek terbabit tidak hanya eksperimen, tetapi langkah strategik mencipta fenomena.

Trio Mut yang terdiri daripada Ammar Haikal, Auddra dan Hadie Elfardie melancarkan lagu raya pertama mereka berjudul Dentam Dentum Raya, hasil nukilan penerbit terkenal Jaja Ishak.

 Ammar, anak kepada vokalis kumpulan Ameng Spring, mengakui tidak berfikir panjang menyambut tawaran apabila mengetahui rakan baiknya turut terlibat.

“Apa yang membuatkan saya terima tawaran ini kerana Auddra dan Hadie ada bersama. 

“Objektif projek ini memang untuk Trio Mut dan jika saya tiada, rasa tidak lengkap.

“Selepas mengenali Uncle Jaja dan Abang Amzar, keterujaan makin terasa. Kali pertama mendengar lagu ini, saya terus jatuh hati kerana melodinya sangat sedap,” katanya kepada HibGlam. 

Sementara itu, Auddra, puteri kepada pengacara dan penyampai radio Sharifah Shahirah berkata,  dia mengambil masa sebelum membuat keputusan, namun selepas mendengar demo, terus bersetuju, apatah lagi diberi tanggungjawab bahagian rap.  

“Selepas dengan demo, saya rasa lagu ini sangat menarik dan setuju terima tawaran.

“Saya juga teruja diberi bahagian rap kerana genre rancak lebih dekat dengan jiwa saya berbanding balada,” ujarnya.

Anak sulung penyanyi Ina Naim, Hadie Elfardie pula menyifatkan projek tersebut pengalaman baharu.

“Ini lagu raya pertama saya bersama kawan-kawan. Sebelum ini saya cuma rakam lagu raya bersama keluarga.

“Pada awalnya mak berbincang dengan Uncle Jaja untuk menghasilkan lagu raya solo.

“Tetapi bimbang pula lagu itu tidak pergi jauh jadi kami ajak Auddra dan Ammar,” jelasnya. 

Dalam pada itu, Jaja Ishak sebagai penerbit dan penulis lirik menyuarakan keyakinan tinggi terhadap potensi trio tersebut walaupun masih baharu dalam industri.

“Secara jujurnya, ramai artis dan pempengaruh melancarkan lagu raya, tetapi tidak semua mampu menyanyi dengan baik.

“Mereka bertiga memiliki bakat semula jadi dan makin dikenali.

“Sebab itu saya berani melabur. Dengan kekuatan vokal, sokongan keluarga serta peminat, saya yakin lagu ini mampu menjadi antara yang terbaik tahun ini,” tuturnya.

Dentam Dentum Raya merupakan hasil ciptaan bersama Amzar Sabri, Jaja Ishak, Rebelasia dan Madebyartin sebagai komposer serta penulis. 

Diterbitkan di bawah Jaja Ishak Channel, lagu tersebut dilancarkan pada Februari 2026 dengan konsep pop moden bernuansa Gen Z.

Single  berkenaan mula menemui pendengar di semua platform digital termasuk Spotify sejak 23 Februari, manakala video muzik rasmi turut dilancarkan di YouTube pada tarikh sama  sekali gus menandakan kemunculan rasmi Trio Mut sebagai wajah baharu muzik raya tanah air. 

 



Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI