fbpx
TANG JIE (kanan) dan Ee Wei berdepan keputusan mengejutkan apabila tewas kepada Espersen-Kudsk, sekali gus tersingkir daripada saingan All England. - SHIDDIEQIIN ZON

All England: Juara dunia kandas pusingan pertama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Beregu campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menerima tamparan hebat apabila tersingkir seawal pusingan pertama pada Kejohanan Badminton All England di Birmingham.

Pada aksi pusingan pertama yang berlangsung di Utilita Arena sebentar tadi, gandingan juara dunia itu dikejutkan dengan kekalahan 21-18, 12-21, 23-25 kepada beregu No.34 dunia dari Denmark, Rasmus Espersen-Amalie Cecilie Kudsk.

Turun sebagai pilihan keempat kejohanan, Tang Jie-Ee Wei memulakan perlawanan cukup baik apabila menguasai sepenuhnya set pertama sebelum memastikan kemenangan 21-18 dalam tempoh 19 minit.

Bagaimanapun, momentum tersebut gagal diteruskan gandingan No.4 dunia itu apabila mereka membenarkan Espersen-Kudsk melakukan kebangkitan di set kedua dan tewas 12-21, sekali gus diheret ke aksi penentuan.

Memasuki set ketiga, wakil Eropah itu sekali lagi mengejutkan Tang Jie-Ee Wei apabila mendahului perlawanan dengan jurang mata cukup besar 10-3 sebelum pasangan negara kembali merapatkan kedudukan 11-16.

Kemudiannya, perlawanan menjadi semakin mendebarkan apabila kedua-dua beregu terikat 20-20 sehingga pemenang ditentukan dalam aksi ‘deuce’, namun tuah memihak kepada Espersen-Kudsk apabila menang 25-23.

Sementara itu, situasi sama turut dialami gandingan Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin apabila tersekat di pusingan pertama selepas tewas 17-21, 19-21 kepada Dhruv Kapila-Tanisha Crasto dari India.

Turut tersingkir adalah beregu profesional negara, Jimmy Wong-Lai Pei Jing yang terpaksa akur tewas 17-21, 18-21 kepada pasangan Taiwan, Ye Hong Wei-Nicole Chan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN