KUANTAN – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang menahan reman seorang anggota penguat kuasa trafik kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM30,000 daripada beberapa individu dan pemilik syarikat lori sebagai balasan melindungi mereka daripada dikenakan tindakan undang-undang.
Perintah reman selama empat hari sehingga 6 Mac 2026 terhadap suspek telah dikeluarkan oleh Majistret, Nuur Fakhizaa Abu Bakar selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Temerloh, pagi tadi.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 30-an itu telah ditahan kira-kira pukul 3.30 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Temerloh.
“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2024 dan 2025 dengan menerima wang rasuah yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi miliknya.
“Suspek dipercayai menerima wang rasuah tersebut daripada beberapa individu dan pemilik syarikat lori,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Pahang, Mohd Shukor Mahmud ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE














