BEREGU lelaki No. 1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik sekali lagi menggalas misi cukup besar apabila sedia menamatkan pemburuan bagi meraih gelaran pada Kejohanan Badminton All England di Birmingham.
Dalam enam penampilan terdahulu, pencapaian terbaik gandingan No. 2 dunia itu dalam saingan All England adalah menjadi naib juara sebanyak dua kali ketika beraksi pada edisi 2019 dan 2024.
Justeru, penampilan kelapan kali ini diharap membawa tuah buat bekas juara dunia itu apabila Aaron menyuarakan keinginan cukup tinggi bagi menamatkan penantian memenangi saingan Jelajah Dunia Super 1000 itu.
“All England sentiasa menjadi satu kejohanan yang sangat istimewa untuk kami kerana pernah melayakkan diri ke perlawanan akhir sebanyak dua kali tetapi belum pernah memenanginya. Tahun ini kami mahu merealisasikan impian itu,” katanya.
Menjelang aksi pusingan pertama yang dijadualkan berlangsung di Utilita Arena hari ini, Aaron-Wooi Yik dijangka tidak berdepan banyak masalah apabila akan bertemu beregu Amerika Syarikat, Chen Zhi Yi-Presley Smith.
Berdasarkan rekod pertemuan antara kedua-dua beregu tersebut, Aaron-Wooi Yik dilihat memiliki kelebihan apabila tidak pernah tewas kepada lawan berkenaan dalam dua perlawanan sebelum ini.
Sementara itu, Wooi Yik pula menjelaskan, mereka akan cuba mengeluarkan permainan sebenar setiap kali melangkah masuk ke dalam gelanggang selain mengharapkan tuah sentiasa memihak kepada mereka.
“Kami sudah pun bekerja keras ketika dalam latihan dan akan cuba memberikan yang terbaik apabila masuk ke dalam gelanggang. Selepas itu, kami harap keputusan akan memihak kepada kami,” ujarnya.
Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia muncul juara All England dalam acara beregu lelaki adalah pada 19 tahun lalu menerusi gandingan emas, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong yang memenangi edisi 2007.














