KEJOHANAN Badminton Asia (BAC) 2026 yang berlangsung di Ningbo, China menyaksikan tidak ada satu pun wakil negara yang beraksi pada saingan hari Sabtu dan Ahad.
Langkah kesemua pemain negara terkandas di pusingan suku akhir apabila Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Pearly Tan- M. Thinaah serta Chen Tang Jie-Toh Ee Wei kecundang.
Tidak ada yang pelik dengan situasi berkenaan kerana ia bukan kali pertama kem badminton negara berdepan nasib yang kurang baik, namun aksi di Ningbo kali ini tidak boleh dianggap seperti kejohanan biasa.
Secara literalnya, saingan kali ini adalah cerminan mengenai persiapan skuad badminton negara terutama para pemain lelaki bagi mengharungi Kejohanan Piala Thomas di Horsens, Denmark bermula 24 April hingga 3 Mei depan.
Sejak Disember tahun lalu, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sudah mencanangkan mengenai keutamaan mereka membentuk skuad Piala Thomas yang benar-benar mantap dan bersedia dalam misi menamatkan penantian.
Kali terakhir trofi paling berprestij itu berada di Kuala Lumpur adalah pada 1992 dan selepas 34 tahun, ia seakan tidak lagi menemui jalan untuk kembali ke Malaysia sehingga menyaksikan para peminat terus kempunan.
Setiap kali musim Piala Thomas berlangsung, BAM tidak pernah hilang keyakinan bahawa skuad negara mampu melaksanakan tugas mereka, namun selepas 16 edisi, harapan itu hanyalah tinggal harapan apabila kegagalan demi kegagalan menghantui.
Kali ini, harapan dan impian yang sama terus dikumandangkan oleh BAM, namun respons para peminat seakan sudah tidak lagi bersinergi setelah melihat prestasi yang dipamerkan oleh para pemain negara terutama untuk disiplin perseorangan yang sering mengecewakan.
Tiga pemain harapan, Lee Zii Jia tidak menyertai saingan di BAC 2026, malah hanya memulakan latihan pusat bersama skuad negara pada Rabu minggu lalu selepas mengesahkan dirinya bebas daripada masalah kecederaan.
Kemudian, dua lagi pemain, Leong Jun Hao terus berdepan prestasi ‘yo-yo’ yang tidak berkesudahan apabila ditunjukkan jalan keluar seawal pusingan pertama pada saingan BAC kali ini, begitu juga nasib sama menimpa seorang lagi pemain, Justin Hoh.
Ketika edisi 1992, dua pemain perseorangan, Rashid Sidek dan Foo Kok Keong menyumbang mata buat skuad negara untuk membantu kemenangan tersebut, tetapi berdasarkan prestasi semasa, peminat seakan sudah mampu menjangkakan nasib skuad negara.
Sebagai peminat badminton, ramai yang mengharapkan keajaiban mampu dilakukan oleh ‘Rexy & The Gang’ untuk skuad negara kali ini, percaturan magis sangat diperlukan untuk menyusun skuad terbaik setiap kali bertemu pasukan lawan bagi mendapatkan kelebihan.
Biarpun ramai menganggap aura Piala Thomas berbeza dan pemain negara akan bangkit, harus diingat bahawa aura sama juga turut dirasai oleh pemain-pemain, China, Indonesia, Korea Selatan, Jepun dan semua yang akan bertanding di kejohanan itu untuk memburu kejuaraan.
Tidak ada jalan pintas dan singkat kecuali terus bekerja keras dan memastikan tahap konsistensi sentiasa kekal berada pada tahap paling tinggi kerana membawa pulang ‘benda’ yang paling berharga itu sudah tentunya tidak mudah.














