SHAH ALAM – Seorang wanita dan rakan lelakinya didenda masing-masing RM5,500 oleh Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan menyembunyikan kelahiran dengan cara menguburkan mayat bayi di tanah perkuburan Islam Seksyen 21, bulan lalu.
Majistret Wan Noora Nisa Ngadirin menjatuhi hukuman itu terhadap Nur Atisha Balqis Ismail, 22 dan Muhamad Razi, 26, yang mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara bersama.
Mahkamah turut memerintahkan penjara tambahan sembilan bulan sekiranya gagal membayar denda itu.
Nur Atisha dan Muhamad Razi didakwa telah menyembunyikan kelahiran dengan cara menguburkan mayat seorang bayi dengan bayi itu telah mati sama ada sebelum, semasa atau selepas dilahirkan.
Perbuatan itu dilakukan di tanah perkuburan Islam, Seskyen 21, kira-kira pukul 7 petang pada 17 Februari lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Peguam Hazwan Hassan dalam mitigasi memaklumkan Mohamad Razi hanya bekerja sebagai buruh dengan gaji harian sebanyak RM100.
“Tiada niat sembunyikannya. Bayi itu telah gugur dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Seksyen 21. Ini kesalahan pertamanya dan tertuduh insaf serta harap dikenakan denda sahaja,” jelasnya.
Sementara, Nur Atisha diwakili Peguam Muhamad Saifullah turut memohon hanya dikenakan denda sahaja ekoran anak guamnya adalah pesalah muda dan merupakan kesalahan pertama.
Timbalan Pendakwa Raya Nur Amirah Zahari memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada kedua-dua tertuduh. – KOSMO! ONLINE














