SHAH ALAM – Kemunculan pelakon Eira Syazira di kerusi barisan pengurus menggantikan suaminya, Azad Jasmin pada konsert separuh akhir Talk To My Manager musim kedua malam ini mencetuskan tanda tanya ramai.
Malam ini, Eira dilihat duduk bersama lima pengurus lain iaitu Datuk A. Aida, Datuk Vida, Adira, Safura dan Jamilul Hayat.
Bagaimanapun, pihak Astro memaklumkan ketidakhadiran Azad disebabkan faktor peribadi.
Pengacara TTMM2, Datuk Aznil memberitahu kemunculan Eira adalah sebagai pengurus interim kepada Amarra.
“Eira hari ini menggantikan Azad sebagai ‘manager’ interim.
“Tapi Eira pun sebelum ini sering berada di belakang kamera membantu menguruskan Amarra bersama Azad,” katanya.
Sebelum ini, Azad kecewa dengan tindakan segelintir netizen yang berterusan melemparkan kecaman melampau terhadap Amarra sehingga membuatkan hatinya sebagai seorang bapa terluka.
Antara kecaman yang diterima adalah membancing-bandingkan kualiti vokal Amarra dengan peserta lain selain berharap doa disingkirkan dari TTMM2 bagi memberi laluan kepada peserta yang benar-benar layak meneruskan perjuangan di pertandingan tersebut. – KOSMO! ONLINE














