KOTA BHARU – Seorang mekanik didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap kekasihnya yang berusia 16 tahun di sebuah rumah di Sungai Rek dekat Kuala Krai baru-baru ini.
Tertuduh, Mohamad Ikhmal Abd. Fatah, 28, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut ketiga-tiga pertuduhan, lelaki didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 16 tahun lapan bulan kira-kira pukul 2 pagi hingga 11 malam pada 14 Januari, 24 Januari dan 14 Februari lalu di sebuah rumah di Kampung Lela Jasa, Sungai Rek dekat Kuala Krai.
Mohamad Ikhmal didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Syazalia Che Suhaimin manakala tertuduh diwakili peguam, Wan Amani Wan Azmin.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di balai polis setiap bulan selain dilarang mengganggu mangsa dan saksi.
Mahkamah turut menetapkan 5 April depan untuk sebutan semula kes dan tertuduh membayar ikat jamin yang ditetapkan mahkamah. – KOSMO! ONLINE














