PETALING JAYA – Fenomena bulan bertukar jadi merah darah atau gerhana bulan penuh boleh disaksikan oleh orang ramai bermula pada pukul 7.04 petang ini.
Menurut Agensi Angkasa Malaysia (Mysa), fenomena ini akan berlaku selama 58 minit dengan kemuncak gerhana berlaku pada pukul 7.33 malam dan fasa penuh akan berakhir pada pukul 8.02 malam.
“Gerhana bulan berlaku apabila bumi berada di antara matahari dan bulan sehingga bayang-bayang bumi menutupi keseluruhan permukaan bulan.
“Fenomena ini menyebabkan bulan kelihatan kemerahan,” katanya.
Mysa berkata, fenomena ini boleh disaksikan di Asia Timur, Australia, Lautan Pasifik, Amerika Utara dan Amerika Tengah.
Manakala di Asia Tengah dan sebahagian besar Amerika Selatan, hanya terjadi Gerhana Bulan Separa.
Menerusi hantaran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia menasihatkan orang ramai terutamanya yang beragama Islam untuk mendirikan solat sunat gerhana bulan bermula daripada waktu maghrib hingga 9.17 malam ini.
Jelas kenyataan itu, solat sunat berkenaan bagi menghayati fenomena kebesaran Allah disamping sentiasa bermunajab sepanjang fenomena berkenaan. – KOSMO! ONLINE














