MELAKA – Polis merampas jus dadah pelbagai perisa bernilai lebih RM226,500 dipercayai untuk dipasarkan di pusat hiburan sekitar Melaka Raya, di sini Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, hasil risikan, sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Melaka menyerbu sebuah rumah di Bandar Hilir pada pukul 2.30 petang.
Katanya, pemeriksaan menjumpai sebanyak 138 peket berisi dadah jenis 3,4-methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 6,052 kilogram, 87 botol dan 15 tin minuman berisi cecair dadah jenis sama.
“Kita percaya kesemua ‘jus dadah’ ini untuk pasaran pusat hiburan sekitar Melaka Raya,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah, hari ini.
Menurut beliau, seorang lelaki tempatan berusia 55 tahun dipercayai pengedar ditahan di lokasi serbuan. Terdapat lebih 10 perisa seperti jambu, oren, anggur dan nanas.
“Setiap peket dadah tersebut dijual pada harga RM250 hingga RM300, manakala minuman dalam botol atau tin pula dijual RM150 hingga RM200.
“Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif methamphetamine dan memiliki satu rekod kes dadah. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, sepasang kekasih berusia 21 dan 18 tahun diberkas pada 23 Februari lalu selepas dipercayai mengedar syabu seberat 3,060 gram bernilai RM150,000 di Klebang.
Pemeriksaan ke atas kereta Perodua Myvi yang dinaiki pasangan itu membawa kepada penemuan 95 peket plastik berisi bahan cecair ketamin bernilai RM23,750 yang disimpan dalam kotak limau.
Ujian saringan air kencing mendapati suspek lelaki positif methamphetamine, manakala teman wanitanya yang juga warga asing positif ketamin. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.- KOSMO! ONLINE














