KUANTAN – Seorang lelaki yang dipercayai terkena sawan dan terjatuh ke dalam sungai ketika mencari ikan ditemukan lemas di Sungai Belat berhampiran Kampung Belukar di sini hari ini.
Mangsa Mohd Firdaus Rahmat,43, dilaporkan terjatuh ke dalam sungai ketika pergi mengambil lukah yang dipasangnya pada pada pukul 7.29 malam semalam.
Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, mayat mangsa Mohd Firdaus Rahmat,43, yang hilang sejak semalam ditemukan pada pukul 12.05 tengah hari ini.
“Pasukan mencari dan menyelamat telah berjaya menjumpai mayat mangsa berhampiran tempat mangsa terjatuh.
“Mayat mangsa berjaya dibawa naik dan pengecaman ahli keluarga mengesahkan mayat mangsa yang dilaporkan hilang,”katanya di sini hari ini.
Menurutnya mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat dan kes disiasat sebagai mati mengejut.
Katanya berdasarkan siasatan awal mendapati mangsa mempunyai rekod sawan di HTAA.
“Siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah yang berlaku dan mangsa dipercayai diserang sawan dan terjatuh ke dalam sungai,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














