LONDON – Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino mencadangkan agar pemain yang menutup mulut ketika bercakap dengan lawan perlu dilayangkan kad merah kerana diragui mempunyai unsur perkauman.
Cadangan itu dibuat susulan kontroversi melibatkan pemain Benfica, Gianluca Prestianni yang dituduh mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman terhadap penyerang Real Madrid, Vinicius Junior dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) bulan lalu.
Pada perlawanan itu, Prestianni dilihat menutup mulutnya dengan jersi sehingga didakwa mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman ke atas Vinicius sebelum dia menafikan tuduhan tersebut.
Isu tersebut telah dibangkitkan pada mesyuarat minggu lalu lalu oleh Lembaga Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Ifab).
Menurut Infantino, keputusan untuk melayangkan kad merah terhadap mana-mana pemain hanya dilakukan jika kata-kata berunsur perkauman.
“Jika seorang pemain menutup mulutnya dan berkata sesuatu dan ia membawa implikasi perkauman maka dia perlu dibuang padang, sudah tentu.
“Kita perlu ada anggapan bahawa dia telah mengatakan sesuatu yang tidak sepatutnya, jika tidak dia tidak perlu menutup mulutnya.
“Saya benar-benar tidak faham, jika anda tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan, anda tidak akan menutup mulut apabila berkata sesuatu. Itu sahaja, semudah itu.
“Dan ini adalah tindakan yang boleh kita ambil dan mesti kita ambil untuk menunjukkan kesungguhan dalam memerangi perkauman,” kata Infantino. – AGENSI













