PETALING JAYA – Ejen dan premis perniagaan emas ‘berlumba-lumba’ mengajak orang ramai untuk membeli emas susulan kenaikan harga emas ekoran perang besar di Asia Barat.
Menerusi tinjauan di media sosial, ejen dan premis perniagaan emas ini memujuk orang ramai membeli emas untuk dijadikan hiasan atau simpanan, tambahan lagi umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidifitri dalam tiga minggu lagi.
“Perang meletus, emas terus meledak. Harga melonjak pantas susulan ketegangan antara Amerika Syarikat dan Iran. Harga emas makin mengganas, orang dah tak fikir panjang.
“Terus serbu kedai sebelum makin mahal. Situasi dunia tidak stabil buatkan pelabur beralih kepada emas sebagai benteng kewangan,” menurut kapsyen pada TikTok Harith Gold & Jewellery.
Seorang ejen jualan emas, Normi Yusof turut memuat naik pada TikTok berhubung jangkaan emas yang melonjak kepada RM728 satu gram susulan perang di Asia Barat.
“Berita tergembar emas, kemas kini harga. Harga emas baru sahaja dikemas kini naik sebanyak RM10 daripada RM718 kepada RM728,” katanya hari ini.
Pakar Kewangan dan Hartanah, Dr. Azizul Azli Ahmad menerusi Facebook turut mengesahkan kenaikan harga emas kepada RM728 satu gram hari ini kesan daripada perang yang meletus.
“Emas bukan sekadar pelaburan. Ia adalah insurans ketika dunia kehilangan kewarasan. Harga emas semalam RM718 dan hari ini dah jadi RM728, naik RM10 selepas dibuka. Kita ada pilihan terus menyimpan atau menjual sebab harga sedang naik,” katanya hari ini.
Semalam media melaporkan, serangan berterusan terhadap Iran oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel mendorong pelabur beralih kepada aset selamat, sekali gus meningkatkan harga emas global ke paras AS$5,500 satu auns, kata seorang penganalisis.
Rakan pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes dipetik berkata, emas tidak menunjukkan penyusutan menjelang hujung minggu, malah melonjak serta-merta sebaik sahaja laporan mengesahkan kehadiran jet pejuang AS di Israel.
Beliau dilaporkan berkata, perkembangan itu menandakan perubahan naratif geopolitik daripada sekadar retorik kepada pendirian ketenteraan yang jelas, iaitu isyarat yang lazimnya dinilai dengan pantas oleh pasaran.
Dalam masa sama, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia, Bhd Dr Mohd. Afzanizam Abdul Rashid dilaporkan berkata, ketegangan yang meningkat di Asia Barat melemahkan kedudukan dolar AS sebagai mata wang selamat, sekali gus memberi kelebihan kecil kepada emas dan logam berharga lain. – KOSMO! ONLINE














