ABU DHABI – Empat orang cedera apabila peluru berpandu terkena Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), manakala seorang terbunuh di lapangan terbang Abu Dhabi, lapor akhbar Metro UK.
Pejabat media Dubai berkata, lapangan terbang itu mengalami kerosakan akibat i’nsiden’, ketika Iran terus melancarkan serangan ke atas pangkalan Amerika Syarikat (AS) di rantau itu.
“Lapangan Terbang Dubai mengesahkan bahawa sebuah ruang legar di Dubai International (DXB) mengalami kerosakan kecil dalam satu insiden yang berjaya dikawal dengan cepat,” katanya.
Selain itu, seorang terbunuh di lapangan terbang Abu Dhabi, manakala tujuh yang lain cedera ketika serangan menyasarkan pangkalan tentera AS.
AS dan Israel melancarkan serangan peluru berpandu di Tehran semalam, yang didakwa telah membunuh pemimpin agung, Ayatollah Ali Khamenei. Iran bagaimanapun menafikan dakwaan itu.
Sementara itu, bangunan lain di Dubai telah diserang, termasuk pusat peranginan ikonik Palm Jumeirah yang terkena serpihan.
Burj Al Arab yang digelar sebagai hotel paling ikonik di Dubai, turut terbakar selepas terkena serangan dron. – AGENSI














