SEPANG – Penumpang yang melakukan perjalanan atau transit melalui beberapa destinasi di Asia Barat dinasihatkan supaya menyemak status penerbangan masing-masing secara terus dengan syarikat penerbangan sebelum ke lapangan terbang susulan sekatan ruang udara di rantau berkenaan.
Malaysia Airports dalam kenyataan memaklumkan, sekatan ruang udara di beberapa kawasan boleh menyebabkan kelewatan, penjadualan semula atau pembatalan penerbangan bergantung kepada penilaian keselamatan syarikat penerbangan.
“Walaupun operasi masih diteruskan, jadual dan laluan penerbangan boleh disemak semula pada notis singkat.
“Gangguan bukan hanya melibatkan penerbangan terus dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), malah penerbangan sambungan melalui hab transit di luar rantau Asia Barat juga berkemungkinan terjejas,” menurut kenyataan itu hari ini.
Kenyataan itu berkata, penumpang dinasihatkan menyemak keseluruhan perjalanan termasuk sektor penerbangan sambungan sebelum membuat sebarang perancangan.
“Malaysia Airports bersama syarikat penerbangan, pengendali darat, pihak berkuasa dan pihak berkepentingan lapangan terbang lain kini memantau perkembangan semasa secara rapat.
“Pasukan di lapangan terbang turut bersiap siaga bagi memberikan panduan, menyelaras sebarang perubahan serta membantu penumpang yang terjejas di terminal,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai juga digalakkan memastikan maklumat perhubungan dikemas kini dengan syarikat penerbangan dan memantau saluran rasmi syarikat penerbangan serta lapangan terbang untuk maklumat terkini. – KOSMO! ONLINE














