LONDON – Pengurus Chelsea, Liam Rosenior optimis rekod buruk menentang Arsenal sejak beberapa tahun lalu bakal berakhir dalam misi meraih kemenangan pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Emirates, awal pagi esok.
The Blues dijangka hadir dengan misi membalas dendam selepas disingkirkan Arsenal pada aksi separuh akhir Piala Liga Inggeris (EFL) pada awal bulan lalu.
Menurut Rosenior, keputusan positif ke atas The Gunners cukup penting untuk memastikan pasukan terus berada di landasan terbaik untuk memburu slot ke saingan Liga Juara-Juara (UCL) musim depan.
Rosenior berkata, prestasi barisan pemain sejak mengambil alih kerusi jurulatih juga cukup baik apabila merekodkan lapan kemenangan daripada 12 perlawanan boleh menjadi lebih baik.
“Saya tidak menilai mana-mana perlawanan lebih sukar daripada perlawanan yang lain. Setiap aksi ada cabaran taktikal berbeza dan apa yang penting kita fokus setiap aksi.
“Saingan EPL adalah liga yang paling sukar, tetapi kita berjaya menang lapan daripada 12 aksi lepas walaupun ada dua perlawanan yang kita sepatutnya turut melakar keputusan positif.
“Namun, ini adalah peluang kita untuk balas dendam ke atas kekalahan Piala EFL yang lepas yang mana pasukan tidak bernasib baik apabila terkandas di peringkat separuh akhir.
“Jika menang, peluang untuk kita raih slot ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim depan semakin cerah,” katanya.
Sebagai rekod, Chelsea tidak pernah menang ke atas Arsenal sejak 2021 dengan skuad kendalian Mikel Arteta itu meraih 10 kemenangan dalam 16 pertemuan. – AGENSI














