PETALING JAYA – Isu jalan rosak dan kesesakan di Lingkaran Tengah Utama (LTU) Pakej 3B dan 3C di Gua Musang, Kelantan diberi perhatian serius Kementerian Kerja Raya (KKR) susulan aduan orang ramai sejak kebelakangan ini.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, perkara itu dibangkitkan dalam Mesyuarat Pasca Kabinet di kementerian berkenaan semalam bersama barisan pengurusan tertinggi.
Katanya, beliau sendiri telah turun padang ke lokasi terlibat bagi meninjau keadaan sebenar dan perkembangan kerja di kawasan tersebut.
“Dalam mesyuarat hari ini dimaklumkan Surat Setuju Terima (SST) bagi kerja-kerja pembaikan akan dikeluarkan pada 3 Mac 2026. Sejurus SST diserahkan, kerja-kerja pembaikan akan dilaksanakan serta-merta dan dijangka siap sepenuhnya dalam satu minggu,” katanya.
Beliau menegaskan, aspek keselamatan pengguna jalan raya menjadi keutamaan utama kementerian, lebih-lebih lagi menjelang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri yang dijangka menyaksikan peningkatan jumlah kenderaan.
“Segala usaha sedang dipercepatkan bagi memastikan laluan tersebut selamat, selesa dan boleh digunakan dengan baik sempena perayaan Aidilfitri.
“KKR akan memantau rapi pelaksanaan kerja ini agar dilaksanakan mengikut spesifikasi dan tempoh yang ditetapkan. Sebarang kelewatan atau ketidakpatuhan tidak akan dikompromi,” ujarnya.
Tambah beliau, kerjasama serta keprihatinan orang awam amat dihargai dalam memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya terjamin.-KOSMO! ONLINE.














