BATU PAHAT – Tular di media sosial satu rakaman memaparkan bayi menangis sambil dipangku pengguna jalan raya selepas dipercayai tercampak dari sebuah kenderaan yang terbakar.
Difahamkan, kejadian itu berlaku di hadapan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Batu Pahat, pagi tadi.
Menerusi video tular berdurasi 53 saat itu, kejadian dipercayai berlaku pada pukul 2.40 pagi dan kelihatan orang ramai bergegas ke lokasi tersebut dengan sebuah kenderaan masih terbakar.
Bayi itu dipercayai tercampak beberapa meter dari kenderaan tersebut sebelum diselamatkan pengguna jalan raya. Di sebelah bayi berkenaan, terdapat seorang mangsa dalam keadaan terbaring tidak sedarkan diri namun tidak dapat dipastikan jantinanya.
Kenderaan yang terlibat dengan kemalangan itu juga remuk pada bahagian hadapan. Kosmo! sedang berusaha mendapatkan maklumat kejadian daripada pihak polis.- KOSMO! ONLINE














