fbpx
Gambar hiasan

‘Solat tanpa memakai telekung sah, janji tutup aurat’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Menunaikan solat tanpa memakai telekung sembahyang bagi wanita Islam hukumnya adalah sah melainkan tidak menutup aurat atau pakaian yang dipakai itu nipis sehingga menampakkan warna kulitnya.

Mufti Pulau Pinang, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Sukki Othman berkata, aurat menurut pengertian syarak adalah sesuatu yang wajib ditutup dan diharamkan melihatnya.

Menurutnya, aurat merupakan syarat sah solat dan hendaklah ditutup ketika menunaikan solat walau berada jauh daripada pandangan mata manusia atau berada dalam kegelapan.
“Aurat bagi wanita ialah menutup seluruh tubuh badannya kecuali muka dan tapak tangan (pergelangan tangan) dan para ulama bersepakat mengatakan bahawa batal solat orang yang tidak menutup aurat sedangkan dia mampu berbuat demikian.

“Selain menutup keseluruhan tubuh badan kecuali muka dan pergelangan tangan, syarat yang perlu dipenuhi bagi menutup aurat bagi wanita ialah memakai pakaian tebal yang sekurang-kurangnya boleh menutup warna kulit badan.

“Sekiranya pakaian yang dipakai itu nipis dan menampakkan warna kulit, maka ia tidak dianggap menutup aurat dan solat tidak sah. Begitu juga disyaratkan pakaian yang dipakai tidak terlalu ketat yang boleh menampakkan susuk tubuh pemakainya,” katanya kepada Kosmo! di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang menunaikan solat dengan mengenakan jubah tanpa telekung sehingga mengundang persoalan dalam kalangan orang ramai mengenai ibadah tersebut.

Jelasnya, kadangkala berlaku kekeliruan terutamanya bagi wanita yang menganggap bahawa solat tidak sah tanpa memakai telekung sembahyang.

“Oleh itu, apabila seseorang wanita itu terlupa untuk membawa telekung sembahyangnya, maka dia akan meninggalkan solat dengan anggapan tidak dapat menutup aurat. Ini merupakan persepsi yang salah terhadap aurat.

“Sebenarnya, apabila seseorang muslimah itu beriltizam dengan menutup aurat apabila berada di luar rumah iaitu dengan menutup seluruh tubuhnya kecuali muka dan pergelangan tangan, maka dia boleh menunaikan solat dengan menggunakan pakaian tersebut asalkan ianya bersih, tanpa diperlukan telekung sembahyang,” jelasnya.

Terdahulu, Siti atau nama lengkapnya Siti Nurhaliza Tarudin, 47, enggan memanjangkan polemik dan memilih untuk tidak mengulas mengenai teguran ramai berhubung tindakannya menunaikan solat dengan hanya berjubah tanpa memakai telekung seperti kelaziman.

Beliau berkata, penjelasan oleh ahli agama sebelum ini sudah memadai bagi menjernihkan suasana, sementara beliau lebih selesa mengambil pendekatan bermuhasabah dan memperbaiki kualiti ibadahnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN