PETALING JAYA – Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) mengenakan kompaun RM100,000 terhadap Rapid Rail Sdn. Bhd. (RRSB) susulan insiden kemalangan di Depoh Subang pada 12 Disember 2024.
APAD berkata, tindakan itu diambil bagi kesalahan di bawah Seksyen 101(7)(e) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 [Akta 715] selepas siasatan mendapati berlaku ketidakpatuhan terhadap garis panduan penyelenggaraan yang ditetapkan Original Equipment Manufacturer (OEM).
Katanya, kejadian pada pukul 3.36 pagi itu melibatkan kegagalan sistem brek sebuah jentera shunting yang menyebabkan pelanggaran dengan jentera Speeder 3.
“Kemalangan menyebabkan satu kematian, tiga cedera kepada kakitangan RRSB selain kerosakan serius terhadap Jentera Grinder, Speeder 3 dan Shunting dengan kerugian RM574,550,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Siasatan mendapati RRSB selaku pengendali berlesen gagal memastikan jajaran dan jentera kereta api berada dalam keadaan selamat untuk beroperasi yang merupakan kesalahan di bawah Seksyen 101(7)(e) Akta 715.
APAD berkata, di bawah Seksyen 101(10) akta sama, pihak yang bersalah boleh didenda tidak lebih RM500,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.
APAD menegaskan keselamatan operasi pengangkutan awam darat merupakan keutamaan dan tidak boleh dikompromi dalam apa juga keadaan.
“Tindakan penguatkuasaan ini bukan sahaja sebagai langkah pematuhan undang-undang, malah sebagai peringatan tegas kepada semua pengendali perkhidmatan rel agar sentiasa memastikan penyelenggaraan dilaksanakan mengikut piawaian teknikal ditetapkan selain latihan mencukupi diberikan kepada kakitangan terlibat,” katanya.
Tambahnya, keputusan mengekalkan kompaun itu dibuat dengan mengambil kira kepentingan awam dan prinsip akauntabiliti demi memelihara integriti sistem pengangkutan rel negara. – KOSMO! ONLINE














