fbpx
Albert pada himpunan turun Azam Baki di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya hari ini. Foto FAISOL MUSTAFA/ KOSMO!

Aktivis tolak jawatankuasa khas, gesa RCI siasat Azam Baki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Aktivis yang menganjurkan Himpunan Tangkap Azam Baki menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu pemilikan saham membabitkan Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Ahli Perniagaan, Albert Tei berkata, pihaknya kekal dengan pendirian supaya RCI ditubuhkan segera selain tidak bersetuju dengan cadangan penubuhan jawatankuasa khas.

Katanya, siasatan perlu diketuai tokoh bebas dan berintegriti bagi memastikan ketelusan serta keyakinan awam terhadap proses berkenaan.

“Kami tidak mahu jawatankuasa khas. Kami mahu RCI ditubuhkan segera dan dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat bagi memastikan siasatan dijalankan secara bebas dan telus,” katanya selepas tamat Himpunan Tangkap Azam Baki di sini, hari ini.

Albert berkata, pihaknya menolak sebarang bentuk siasatan melibatkan konflik kepentingan, termasuk dakwaan hubungan kekeluargaan dalam struktur jawatankuasa khas yang dicadangkan.

“Kita tidak mahu jawatankuasa khas ‘abang-adik’. Kita tidak mahu siasatan yang boleh menimbulkan persoalan tentang kebebasan dan ketelusan,” katanya.

Oleh itu, katanya, demi kelancaran siasatan, Azam wajar digantung tugas atau melepaskan jawatan sementara siasatan dijalankan mengikut amalan perundangan yang sama seperti dikenakan terhadap rakyat biasa.

“Siasatan perlu dijalankan secara adil dan menyeluruh. Tiada sesiapa pun berada di atas undang-undang,” katanya.

Terdahulu, kumpulan itu berhimpun secara aman bagi menuntut penyingkiran Azam daripada SPRM selain pelaksanaan siasatan bebas, telus dan tidak dipengaruhi mana-mana pihak terhadap dakwaan pemilikan saham yang dikaitkan dengannya.

Perhimpunan itu disertai kira-kira lebih 50 peserta yang mengenakan pakaian berwarna hitam sebagai simbol solidariti dan bantahan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI