BATU GAJAH – Seorang pemilik restoran didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana melakukan khianat ke atas seekor anjing liar bulan lalu.
Tertuduh, Wong Phan Sang, 64, turut berdepan hukuman penjara selama dua bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Hukuman itu diputuskan Majistret Azlin Zeti Zainal Abidi selepas Phan Sang mengaku salah atas pertuduhan berkenaan. Azlin Zeti turut memerintahkan agar barang kes termasuk pemetik api dan enam mercun bola yang dirampas daripada tertuduh dilupuskan.
Mengikut pertuduhan, warga emas itu didakwa melakukan khianat dengan membunuh anjing liar di hadapan sebuah restoran di Taman Pusing Baru, Pusing kira-kira pukul 7.30 malam, 28 Januari lalu. Oleh itu, dia dituduh mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam Choong Hui Yean merayu denda minimum sebanyak RM500 dengan alasan anak guamnya juga adalah ‘mangsa’ kerana haiwan liar tersebut berulang kali mengejarnya sehingga menyebabkan dia cedera akibat terjatuh motosikal.
Katanya, tertuduh juga menghidap kebimbangan melampau yang memerlukan rawatan selain mendakwa kematian haiwan itu tidak disengajakan kerana anjing tersebut sendiri menggonggong mercun bola yang dilempar.
Timbalan Pendakwa Raya, Monisha Pandey bagaimanapun mencadangkan hukuman lebih berat terhadap tertuduh sebagai pengajaran susulan peningkatan kes penganiayaan haiwan sejak kebelakangan ini.
Pada 31 Januari lalu, seorang lelaki ditahan dipercayai menyebabkan kematian seekor anjing jalanan di Pusing. Kejadian disedari selepas penduduk terdengar bunyi letupan sebelum menemui anjing dengan mulut berlumuran darah di kawasan berdekatan restoran. – KOSMO! ONLINE














