fbpx
Arsenal tidak mempunyai pilihan kecuali merekodkan kemenangan dalam semua 10 aksi terakhir EPL bagi menjamin gelaran menjadi milik mereka. - AFP

Arsenal perlu mula cermat melangkah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEMENANGAN Arsenal yang berjaya menewaskan Tottenham Hotspur pada aksi derbi London Isnin lalu melegakan resah peminat The Gunners ketika mereka masih percaya pasukan itu mampu memenangi saingan Liga Perdana Inggeris musim ini.

Berbaki 10 lagi perlawanan, Arsenal pastinya mengharapkan keajaiban apabila pencabar utama, Manchester City yang masih kekurangan satu perlawanan sekadar lima mata di belakang dan secara matematik, 11 kemenangan pada baki perlawanan musim ini akan menobatkan mereka selaku juara.

Kegagalan mempertahankan kelebihan dua gol ketika bertemu Wolves tempoh hari menyebabkan skuad kendalian Mikel Arteta hilang keselesaan dan tidak ada cara lain kecuali perlu memenangi semua perlawanan terakhir mereka.

Dalam perjalanan menuju penghujung musim, Arsenal perlu berdepan 10 lagi pasukan melibatkan Chelsea, Brighton, Everton, Bournemouth, City, Newcastle, Fulham, West Ham, Burnley dan Crystal Palace.

Di atas kertas ada beberapa perlawanan boleh dianggap tidak mudah khususnya melibatkan pertemuan menentang Chelsea dan bakal menentang City pada 18 April yang dianggap penentu sama ada Arsenal mampu menjulang kejuaraan atau sebaliknya.

Bagaimanapun, mereka tidak boleh terlepas pandang terutamanya menentang pasukan dipertengahan liga seperti Brighton, Bournemouth, Everton dan Fulham misalnya yang beraksi secara ‘low block’ dan menyukarkan Arsenal mendapatkan jaringan.

Menjadi pasukan yang berada di kedudukan teratas liga bukan sahaja memerlukan kesempurnaan aspek permainan, tetapi Arsenal juga perlu kuat dari segi faktor mental apabila setiap pasukan yang ditentang hanya turun dengan matlamat memastikan mereka tidak meraih mata penuh.

Arteta perlu menjadi lebih kreatif dalam menyediakan pasukan yang dianggap lebih ampuh dan versatile di bahagian serangan ketika berdepan pasukan yang mengamalkan taktik bertahan, selain tidak alpa dengan benteng pertahanan.

Selepas tiga musim lalu mereka ‘terciduk’ pada hujung-hujung musim, kali ini The Gunners pastinya sudah belajar cara untuk berdepan tekanan kerana City memiliki Pep Guardiola yang cukup berpengalaman berdepan situasi getir seperti ini.

Cuma, apa yang menjadi kekurangan City musim ini adalah mereka kehilangan pemain tonggak seperti Ederson, Kevin De Bruyne dan Kyle Walker selain pemain baharu yang mungkin belum matang berdepan tekanan hujung musim.

Walau apapun, tidak ada siapa yang mampu untuk memperkecilkan kemampuan City mengubah situasi sekiranya Arsenal tidak berjaga-jaga terutama dalam isu kepenatan pemain dan masalah kecederaan dalam saat-saat genting.

Musim ini adalah musim paling baik buat The Gunners untuk muncul juara, namun andai mereka sekali lagi kempunan mungkin benarlah kata-kata Patrice Evra bahawa melihat Arsenal beraksi seperti menonton Netflix.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN