fbpx
Auddra meluahkan rasa sedih apabila rakan seperjuangannya dalam program Talk To My Manager (TTMM), Marsya Qistina menjadi sasaran kecaman serta buli siber dalam media sosial.

‘Dia sibuk belajar, jangan banding saya dengan Marsya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Sudah keterlaluan, penyanyi remaja Auddra meluahkan rasa sedih apabila rakan seperjuangannya dalam program Talk To My Manager (TTMM), Marsya Qistina menjadi sasaran kecaman serta buli siber dalam media sosial.

Auddra atau mesra disapa Oddah, 17, menyifatkan Marsya sebagai individu berbakat besar dan tidak wajar diperlakukan sedemikian hanya kerana bergelar juara program berkenaan.

“Saya sangat sedih bila tahu Marsya melalui semua ini. Dia seorang yang bijak dan sangat baik, jadi saya tak sangka orang sanggup kecam dia.

“Dia memang layak jadi juara. Vokal dia sangat hebat. Kalau dengar dia menyanyi secara langsung, memang boleh meremang bulu roma,” katanya kepada Kosmo! Online.

Tambah anak kepada pasangan selebriti Sharifah Shahirah dan Ijoy itu, Marsya sebelum ini pernah meluahkan keterujaan selepas menjuarai TTMM, namun kegembiraan tersebut bertukar duka susulan komen negatif netizen.

“Masa sidang media sebelum ini, dia sudah cakap mahu jadi penyanyi yang baik dan sentiasa berusaha.

“Bila menang, dia sangat gembira. Tetapi apabila netizen mula kecam, dia jadi sedih dan agak tertekan,” ujarnya pada majlis pelancaran lagu Dentam Dentum Raya di sini, kelmarin.

Auddra yang juga bekas peserta program tersebut berpendapat, orang ramai tidak sepatutnya membandingkan anak kepada penyanyi Liza Hanim itu dengan dirinya dan Thalita dari segi tawaran kerja.

“Ramai tanya kenapa saya dan Thalita dapat banyak tawaran kerja. Kami pun tertanya-tanya, kenapa netizen tak simpati pada Marsya?

“Dia rajin belajar dan bersungguh-sungguh dalam nyanyian. Bukan mudah nak seimbangkan pelajaran dan kerjaya seni serentak. Saya sangat hormat usaha dia,” luahnya.

Mengulas pengalaman sendiri berdepan kecaman, Auddra mengakui memilih untuk tidak membaca komen media sosial demi menjaga emosi.

“Emak dan pasukan saya selalu pesan supaya jangan terlalu baca komen. Kalau baca pun jangan ambil terlalu dalam.

“Bila terlalu banyak membaca, kita mudah terasa. Jadi lebih baik fokus pada kerja dan orang yang menyokong kita,” luahnya.

Sebelum ini, Liza membuat laporan polis susulan tindakan segelintir individu membuli anaknya di media sosial.

Pelantun Gelisah Mimpi itu turut memaklumkan akan mengemukakan aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) agar tindakan sewajarnya diambil terhadap pemilik akaun terlibat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI