PASUKAN Johor Darul Ta’zim (JDT) mengharapkan sentuhan emas penyerang baharu, Ajdin Mujagic diteruskan pada aksi kedua suku akhir Piala Malaysia menentang Melaka FC di Stadium Hang Jebat, malam ini.
Sebagai rekod, skuad Harimau Selatan sudah meletakkan sebelah kaki ke pentas separuh akhir kejohanan bola sepak tertua negara itu susulan kemenangan 5-0 yang diraih pada aksi pertama di Stadium Sultan Iskandar, 13 Februari lepas.
Lebih menarik, Mujagic meledak hatrik pada perlawanan tersebut sebelum meneruskan rentak cemerlang apabila menjaringkan dua gol pada aksi Liga Super ketika menewaskan Sabah FC 6-1, Ahad lepas.
Pengendali JDT, Xisco Munoz memuji impak yang dipamerkan oleh pemain import dari Bosnia-Herzegovina itu yang dilihat mudah menyesuaikan diri dengan pasukan selepas berhijrah daripada skuad The Rhinos, awal bulan ini.
Menurut Xisco, keputusan untuk mendapatkan Mujagic adalah tepat kerana kelab sudah memantau bakat pemain berusia 28 tahun itu dan tahu sejauh mana kemampuannya untuk memberi nilai tambah buat JDT.
“Mujagic adalah seorang penyerang yang berkaliber terutama sentuhan penyudahnya di dalam kotak penalti. Dia pemain yang tepat bagi mempertajam jentera serangan pasukan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














