KUALA LUMPUR – Pempengaruh dan penyanyi dinasihatkan untuk memberi tumpuan kepada pengimarahan Ramadan berbanding mempromosikan lagu raya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, hal ini memandangkan bulan puasa baru sahaja bermula.
“Ramadan baru sahaja bermula. Ayuh kita fokus untuk mengimarahkan Ramadan ini dengan segala amal ibadah, melakukan kebaikan, bersedekah, menolong orang lain. Kita fokuskan yang itu.
“Apa-apa yang lain tu kita tangguh dahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Himpunan Asatizah Muda Kebangsaan (Hamka) 2026 di Dewan Serbaguna Masjid Wilayah Persekutuan hari ini. – KOSMO! ONLINE














