fbpx
Beberapa gambar dimuat naik di media sosial memaparkan kesesakan di kebanyakan platform LRT pagi tadi.

Stesen dibanjiri lautan manusia, LRT ‘bermasalah’ lagi dua hari berturut-turut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya dilaporkan mengalami gangguan sekali lagi pagi ini sehingga menyebabkan kesesakan luar biasa di kebanyakan stesen.

Tinjauan di media sosial mendapati, orang ramai terpaksa bersesak di Stesen Sri Rampai, Pasar Seni, Masjid Jamek, KLCC dan beberapa stesen lain.

Lebih teruk, tular satu gambar memaparkan seorang penumpang pitam dipercayai kerana bersesak terlalu lama sementara menunggu tren. Insiden terbaharu itu membuatkan pengguna LRT berasa marah kerana alasan gangguan teknikal selama dua hari berturut-turut disifatkan tidak munasabah.

Isu itu juga menimbulkan persoalan terhadap tahap penyelenggaraan dan kecekapan pengurusan perkhidmatan pengangkutan awam tersebut.

“Dua hari berturut-turut? Kelakar betullah Rapid KL. Dalam enam bulan ini sahaja sudah berapa kali kata (alasan) gangguan teknikal? Tak tahu nak marah ke apa sebab dah macam kejar KPI pula setiap hari nak rosak,” kata AlifAznee.

“Aku keluar rumah pukul 5.50 pagi tau nak naik LRT sebab kelas pukul 8.30 pagi. Tapi apa yang aku dapat, sekarang masih tersekat (terkandas) kat sini,” kongsi Szznea.

“Rapid KL atau Prasarana, tolonglah semalam dah lambat masuk pejabat, takkan hari ini pun nak lambat lagi? Saya dah terpacak dekat LRT sejak 7.45 pagi tau, sekarang pukul 8.23 pagi masih di Stesen Kelana Jaya,” ujar Danisams.

“Tak tahu nak cakap macam mana. Kau berusaha bangun awal, keluar rumah awal, hantar anak sekolah awal, kau berlari berkejar masa. Sampai KL Sentral sebelum pukul 8 pagi, Ya Allah LRT tersekat, penuh manusia. Usaha kau pagi tadi hilang sebab kau sampai tempat kerja tetap lambat,” kata Ziela.

Sementara itu, tinjauan di ruangan komen Facebook Rapid KL mendapati rata-rata pengguna pengangkutan awam tersebut meluahkan rasa tidak puas hati dan meninggalkan kritikan pedas susulan gangguan yang berlaku.

Rapid KL memaklumkan, perkhidmatan tren mengalami kelewatan antara Stesen Asia Jaya dan Taman Bahagia berikutan sebuah tren dipandu secara manual. Setakat ini tren yang dikendalikan secara manual telah dikeluarkan daripada perkhidmatan.

“Jadual perjalanan sedang diselaraskan dan perkhidmatan tren kembali beroperasi seperti biasa. Perkhidmatan telah pulih, namun memerlukan sedikit masa untuk menguruskan kesesakan penumpang. Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan dan terima kasih atas kesabaran anda,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN