IPOH – Penjawat awam negeri ini bakal menerima Bantuan Khas Kewangan (BKK) sempena Hari Raya Aidilfitri berjumlah RM1,500 yang akan disalurkan pada 16 Mac depan.
BKK tersebut akan diterima oleh seramai 11,261 penjawat awam negeri melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM16.89 juta.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pemberian BKK itu termasuk kepada ahli-ahli ex-officio, orang besar jajahan, semua guru lantikan negeri, pegawai lantikan kontrak dan kakitangan di bawah Kontrak MySTEP.
Katanya, bantuan kewangan itu turut disalurkan kepada semua guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Tradisional dengan kadar RM500 seorang.
“Semasa saya mengumumkan bonus dua bulan gaji sebelum ini, saya jelaskan bahawa pemberian itu dibuat kerana kedudukan kewangan negeri yang kukuh dan mempunyai lebihan hasil.
“Lebihan tersebut adalah hasil kerja keras Pejabat Daerah dan Tanah (PDT), Pejabat Tanah dan Galian (PTG), pihak majlis bandaran dan semua agensi yang terlibat dalam kutipan hasil.
“Apabila kutipan hasil menunjukkan prestasi memberangsangkan, maka dalam Belanjawan Perak yang lalu kita dapat umumkan pemberian bonus dua bulan gaji.
“Justeru, saya berharap semua penjawat awam terus komited dan bekerja bersungguh-sungguh sepanjang Ramadan ini agar hasil negeri dapat terus dipertingkatkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Penjawat Awam di Laman Seri Ridzuan di Ipoh hari ini.
Pada tahun lalu, kerajaan negeri mengumumkan pemberian BKK Aidilfitri berjumlah RM1,500 kepada 13,582 kakitangan awam di negeri ini dengan implikasi kewangan sebanyak RM10 juta. – KOSMO! ONLINE














